Selasa, 5 April 2011

Sukan Tahunan kali ke-19

03 April 2011 - Inilah detik yang ditunggu-tunggu. Temasya Sukan SERI kali yang ke-19 telah diadakan dengan jayanya pada hari Ahad yang lalu. Temasya sukan ini telah dirasmikan oleh Tn Hj Muhamed Nasa bin Kurdi (gambar) selaku Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIP).

Acara yang bermula pada pukul 8.30 pagi ini dimulakan dengan perbarisan oleh pelajar-pelajar tahap 2. Setelah selesai perbarisan, murid- murid yang masih berada di dalam kedudukan perbarisan bersedia untuk menyanyikan lagu Asmaul Husna, lagu Negaraku, lagu ABIM, lagu Sekolah dan membacakan ikrar sukan. Acara perbarisan ini telah dimenangi oleh rumah hijau. Manakala tempat kedua pula rumah merah dan diikuti oleh rumah jingga selaku tempat yang ketiga.

Pelbagai acara sukaneka untuk murid Pra dan juga acara balapan untuk murid SERI telah diadakan. Acara sukan yang meriah ini dijalankan dengan dibantu oleh sukarelawan.

Pada sukan tahunan kali ini, terdapat 6 buah rumah sukan iaitu rumah merah, ungu, biru, hijau, kuning dan jingga. Johan keseluruhan bagi temasya sukan kali ini ialah rumah kuning dan diikuti oleh rumah biru ditempat yang kedua, rumah hijau ditempat yang ketiga, rumah ungu ditempat yang keempat, rumah jingga ditempat yang kelima. Manakal rumah yang mendapat tempat yang terakhir ialah rumah merah.

Setelah selesai acara sukaneka, acara penyampaian hadiah pula menyusul. Acara penyampaian hadiah ini disempurnakan oleh tetamu-tetamu kehormat dan juga Guru Besar SERI sendiri. Majlis yang bermula pada pukul 8.30 pagi ini berakhir pada pukul 12.00 tengahari.

Pihak sekolah amat berterima kasih kepada ibubapa dan dan semua yang membantu menjayakan acara sukan tahunan kali ini dan juga semua yang bergotong-royong mengemaskam peralatan yang digunakan selepas selesai acara sukan ini.

Gambar-gambar sekitar Temasya Sukan




Aktiviti Merentas Desa

31 Mac 2011- Salah satu daripada aktiviti sukan tahunan adalah acara merentas desa.Acara ini telah diadakan lebih awal daripada hari sukan yang sebenar. Acara ini disertai oleh semua murid tahap 2 iaitu tahun 4, tahun 5 dan tahun 6.

Murid-murid telah memulakan larian dari hadapan sekolah ke tempat perkelahan Ulu Chepor melalui perkampungan Ulu Chepor. Murid-murid perlu melalui kelima-lima'checkpoint' sebelum sampai ke garisan penamat.

Bagi kategori lelaki, Mohd Syafiq dari Rumah Hijau telah mendapat tempat yang pertama manakala bagi pemenang kategori perempuan dimenangi oleh Nurziha Syuhada dari Rumah Ungu.


Gambar-gambar sekitar hari merentas desa



Latihan Sukan

24 Mac - Bermula pada 24 Mac 2011, latihan sukan telah diadakan setiap hari Isnin hingga Khamis. Latihan ini bermula pada pukul 10.15 pagi iaitu selepas waktu rehat pagi sehingga waktu rehat tengahari pada pukul 1.10 tengahari.

Sementara hari Jumaat pula, pembelajaran dijalankan mengikut jadual seperti biasa. Latihan sukan ini diadakan selama seminggu hingga menjelangnya hari sukan yang sebenar pada 04 April 2011.


Gambar-gambar sekitar hari latihan


IHTIFAL SUKAN KEBANGSAAN KALI KE-14

12 Mac 2011- Ihtifal Sukan Kebangsaan kali yang ke-14 telah diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia selama tiga hari berturut-turut bermula 13hb Mac hingga 15hb Mac 2011 iaitu pada hari Ahad hingga Selasa. Seramai 52 orang peserta yang menyertai pelbagai acara telah terlibat disamping 11 orang guru pengiring.

Pelbagai jenis acara telah dipertandingkan. Antaranya ialah ping pong yang diwakili oleh lelaki (L) dan perempuan (P), bola sepak, sepak takraw, bola tampar, bola jaring, badminton L dan P, lari 100m L dan P, lari 200m L dan P, lari 4x100m L dan P, memanah L dan P, lontar peluru L dan P dan catur L dan P.Dalam ihtifal sukan kali ini sekolah SERI telah berjaya mengutip 10 pingat. Antaranya ialah 3 emas dalam acara sepak takraw, catur lelaki dan 4x100m lelaki. 4 pingat perak pula dalam acara bola sepak, badminton perempuan, lontar peluru lelaki dan 200m perempuan. Gangsa pula mendapat 3 pingat dalam acara bola tampar lelaki, 200m perempuan dan memanah perempuan.

Keseluruhan bagi Ihtifal Kebangsaan, SERI Al Ummah Chemor mendapat tempat yang ke-4 dari 13 buah sekolah. Ini merupakan satu kebanggaan kepada sekolah.


Gambar-gambar pada hari Ihtifal.

Acara renang

Acara memanah

Acara lompat jauh

Acara lari 4 x 100M


SUKAN DALAMAN TAHAP 2 KALI KE-19

03 Mac 2011 - Sukan dalaman SERI tahap 2 kali ke 19 telah diadakan dengan jayanya pada hari Khamis yang lalu. Sukan dalaman tahap 2 yang bermula pada pukul 9.00 pagi ini telah dirasmikan oleh Guru Besar SERI sendiri iaitu Ustaz Mohd Fadzil bin Hj Zakaria .

Terdapat pelbagai acara sukan yang dipertandingkan untuk murid-murid tahun 4, 5 dan 6 ini. Antaranya ialah bola tampar, bola jaring, sepak takraw,bola sepak dan olahraga. Pada sukan kali ini terdapat 6 buah rumah sukan iaitu rumah jingga,merah,biru,ungu,hijau dan kuning.

Pihak sekolah amat berterima kasih kepada guru-guru dan semua yang TURUT SERTA membantu dan bertungkus lumus untuk memastikan sukan ini berjalan dengan lancar dan jayanya. Bakat murid-murid juga dapat dilihat bakatnya terserlah melalui sukan ini. Sukan yang meriah ini telah berakhir pada pukul 4.30 petang.

Kami mohon maaf kerana gambar tidak dapat disiarkan kerana masalah teknikal pada kamera.

Sambutan Maulidur Rasul 1432H

14 Feb 2011 - Bersempena dengan Hari Maulidur Rasul pada 12 RabiulAwal 1432H, pihak sekolah telah mengadakan satu sambutan menyambut Maulidur Rasul. Seawal jam 9.00 pagi murid-murid telah berarak mengikut kelas masing-masing dengan membawa sepanduk yangtelah dihias mengikut kreativiti.

Setelah selesai perarakan murid-murid berkumpul di padang sambil mendengar sepatah dua kata ucapan daripada Guru Besar. Pada pukul 9.30 murid-murid sedia untuk menikmati makanan pada waktu rehat.

Tepat pada pukul 10.00 pagi, setiap kelas telah dibekalkan dengan satu kertas yang mengandungi kisah-kisah Nabi Muhammad S.A.W. Murid-murid perlu mendengar kisah tersebut yang diceritakan oleh guru kelas masing-masing. Setelah selesai, pada pukul 11.00 pagi pula murid-murid perlu terlibat dengan pertandingan mewarna untuk tahap 1. Manakala untuk tahap 2 pula perlu melukis poster dengan tema yang telah diberikan.

Selepas itu, murid-murid dipersembahkan dengan sebuah nyanyian nasyid oleh kumpulan nasyid sekolah. Majlis ini tamat pada pukul 1.00 tengahari.

Gambar-gambar sekitar majlis sambutan.



Isnin, 4 April 2011

Program demi program....









Terlebih dahulu blogmaster ingin memohon maaf atas lama sangat tak 'update' blog nih...adakala terlupa, adakalanya juga tengah fikir apa bahan nak letak dalam blog ini. Lama tak 'update' akhirnya kena 'sound'(tegur) dengan Mudir sekolah, baru kalut nak cari bahan. InsyaAllah, blogmaster janji selepas ini akan selalu memasukkan berita-berita terkini, program dan yang berkenaan dengannya, ada juga tazkirah ataupun cerita-cerita menarik untuk dikongsi bersama demi menjadikan kita semua insan kamil yang bertaqwa kepada Allah S.W.T. dalam apa jua keadaan.

Impian untuk melihat anak-anak muda menjadi Insan / Masyarakat Madani amatlah tinggi dan adalah menjadi target SERI Al-Ummah ini untuk melahirkan insan bertaqwa selaras dengan slogan "Ke Arah Pembentukan Insan Soleh".

Program-program yang telah berjalan dan yang akan dilaksanakan adalah untuk melahirkankan anak-anak yang lasak, berhemah tinggi, berbudi pekerti mulia, berakhlak soleh dan solehah, berwawasan dan berani menempuh cabaran zaman serba moden ini.

Blogmaster berharap anak-anak yang masih belajar ataupun yang telah menjadi Alumni SERI Al-Ummah sentiasa menjadikan blog ini sebagai tempat persinggahan, mengorek ilmu yang ada diselitkan di dalamnya dan jadikan ia tempat berdiskusi yang ilmiah.

Selain daripada blog ini, SERI Al-Ummah akan mengaktifkan akaun FB SERI Al-Ummah. Akan diumumkan kemudian, insyaAllah.

Akhir kata, jadilah insan bertaqwa yang membentuk peribadi soleh dan kejayaan akhirat dijadikan matlamat utama.