Isnin, 23 Julai 2012
Salam Ramadhan Al-Mubarak
Salam Ramadhan al-Mubarak kepada semua muslimin dan muslimat. Ketibaan Ramadhan bulan yang mulia ini menandakan satu ujian dan juga rahmat kepada kita sebagai umat Islam. Ujian menahan lapar dan dahaga sudah semestinya menguji keimanan dan kesabaran kita dalam menghadapi urusan seharian. Yang paling getir adalah ujian sejauh mana ketaqwaan kita kepada Allah S.W.T., dalam keadaan begini tanpa makan dan minum di siang hari, kesabaran adalah paling utama. Maklumlah, bila lapar dan dahaga akan membuatkan seseorang itu cepat marah, hilang pertimbangan, khayal, mengantuk dan sebagainya. Inilah yang cuba disampaikan oleh Islam, betapa seksanya mereka yang tidak dapat makan dan minum seperti orang miskin dan daif. Terdapat banyak negara di seluruh dunia yang penduduknya kurang sumber makanan dan minuman. Tetapi kita di Malaysia 'terlebih makan'. Kadangkala lupa bersyukur kepada Allah di atas anugerah nikmat yang diberikanNya kepada kita. Apabila kita di takuk selesa, jangan lupa yang tidak berdaya, bantulah sedaya kita untuk meringankan penderitaan mereka yang miskin dan daif itu. Jangan hanya mengira tembolok dan perut kita sahaja.
Bulan Ramadhan juga menjadi bulan rahmat kerana di dalamnya ada 3 tahap yang boleh diraih oleh umat Islam yang berpuasa. Ramadan, awalnya rahmat, pertengahan keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada azab api neraka. (hadis Rasulullah S.A.W.)
Tetapi jangan hanya berpuasa tetapi lupa kepada yang paling utama iaitu SOLAT. Ini kerana terdapat ramai umat Islam yang amat menjaga ibadah puasa tetapi solat ditinggalkan. Adalah salah sikap ini kerana di dalam Rukun Islam, selepas Mengucap 2 kalimah syahadah adalah solat! Selepas solat barulah puasa...
Akhir kata, dengan sedikit peringatan ini, dapatlah kita menggandakan amal ibadah kita dengan ikhlas kepada Allah. Rebutlah peluang dan ganjaran keemasan sebulan ini kerana ia tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain selain Ramadhan.
SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH PUASA dan rajinlah menuntut ilmu dan bekerja!
Wassalam.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan