Pemergian Ramadhan ditangisi seluruh penduduk langit dan bumi. Kembali merindui keberkatan dan kebaikan di bulan mulia itu di tahun hadapan. Ma'as salamah wa ilalliqa' ya Ramadhan. InsyaAllah tahun hadapan berjumpa lagi.
Kedatangan Syawal menggantikan Ramadhan menandakan kemenangan kepada para mujahid yang telah berjaya menghadapi pelbagai cabaran dalam menjalani ibadah puasa, yang bukan dalam erti kata hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi dalam erti kata sebenarnya iaitu menjauhi segala yang membatalkan puasa dan menekuni ibadah semaksima mungkin selama 30 hari berpuasa. Ahlan wasahlan ya Syawal! Kehadiranmu dinanti oleh para alimin dan para solehin agar dapat kembali menjalin tali silaturrahim antara saudara seagama yang telah jauh terpisah, dan menambah mesra kepada yang dekat.
Islam menggalakkan umatnya saling bermaafan seikhlasnya agar silaturrahim saudara seagama kembali bertaut
Akan tetapi, jangan dirosakkan amalan mulia selama 30 hari di bulan Ramadhan itu dengan 1 hari pertama di bulan Syawal dengan maksiat. Ramai antara kita yang menjadikan Syawal itu bulan melepaskan tekanan dan hawa nafsu setelah 30 hari mengekang nafsu yang terpendam sekian lama. Mereka menganggap Ramadhan itu bulan kongkongan, bulan tahan nafsu, bulan penjara. Oleh kerana itu, apabila Ramadhan hampir ke penamatnya, mereka sangat seronok dan tidak sabar lagi untuk menyambut 1 Syawal, bukan bertujuan yang elok, tetapi bertujuan 'mengqadha' tuntunan nafsu dan syaitan yang terbelenggu selama 30 hari berpuasa. Maka hanya dalam 1 hari sahaja di hari raya pertama, mereka melampiaskan keinginan dalam bermaksiat kepada Allah di sana sini. Bergaul bebas tanpa had, kembali mengunjungi kelab-kelab malam, kembali berkonsert ke tahap melampaui batas agama dan sebagainya. Ke manakah ijtihad dan jihad di bulan Ramadhan yang baru lalu?Sambutlah hari raya dengan panduan syarak, hindarilah berhari raya dalam keadaan bermaksiat kepada Allah S.W.T.
-Sekadar gambar hiasan.
Inilah realiti hidup manusia. Lupa akan Allah bila telah menemui kesenangan dan lepas dari kesengsaraan. Manusia mudah lupa!-Sekadar gambar hiasan.
Jadi, di hari kemenangan ini, marilah kita sama-sama kembali menghayati apakah sebenarnya Aidil-Fitri itu, yang dikatakan 'kembali kepada fitrah' manusia itu sendiri. Apakah fitrah manusia itu adalah untuk bermaksiat kepada Allah, atau adakah sebenar fitrah itu ertinya menjadi manusia yang tahu bersyukur kepada Allah, dengan melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya?
Aidilfitri akan lebih bermakna jika kita tahu bagaimana menyambutnya mengikut apa yang digariskan oleh yang empunya Hari Raya tersebut yakni Allah S.W.T.
Kami di SERI AL-UMMAH, ingin menyeru agar kita kembali kepada Allah, dengan sebenar-benar kembali, fitrah insani yang Allah cintai, sambutlah Aidilfitri ini dengan penuh rasa kesyukuran, keinsafan dan bermaafanlah antara kita kerana Allah S.W.T.
Akhir kata, kami di SERI AL-UMMAH ingin memohon kemaafan di atas segala kesilapan yang pernah kami lakukan sama ada disedari atau tidak disedari.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. Maaf Zahir dan Batin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan